Sektetariat Pengurusan Bencana Politeknik Port Dickson (SPeNA@PoliPD) sedang membantu mangsa banjir membaiki peralatan elektrik yang rosak akibat banjir bagi meringankan beban mangsa banjir ketika ditemui di beberapa lokasi banjir di Linggi, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Sektetariat Pengurusan Bencana Politeknik Port Dickson (SPeNA@PoliPD) sedang membantu mangsa banjir membaiki peralatan elektrik yang rosak akibat banjir bagi meringankan beban mangsa banjir ketika ditemui di beberapa lokasi banjir di Linggi, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Prihatin terhadap mangsa banjir, Politeknik Port Dickson (PoliPD) menggerakkan sukarelawan untuk menjalankan misi pasca banjir di beberapa kawasan yang terjejas akibat bencana itu akhir tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Politeknik Port Dickson, Razali Bakri berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi jawatankuasa khas di PoliPD dikenali Sekretariat Pengurusan Bencana Politeknik Port Dickson (SPeNA@PoliPD) yang turut untuk membantu membaiki peralatan elektrik mangsa banjir yang rosak.

"SPeNA berperanan menyelaras pengoperasian bantuan pasca banjir bagi membantu kakitangan dan ahli keluarga, penuntut dan komuniti setempat.

"Kami juga mengenalpasti lokasi misi bantuan, membuat perolehan peralatan dan keperluan serta berperanan menggerakkan sukarelawan untuk menjalankan misi pasca banjir yang disertai warga Politeknik terdiri daripada kakitangan dan penuntut," katanya ketika ditemui dalam misi membantu pasca banjir di Linggi, dekat sini.

Katanya, SPeNA mempunyai rakan strategik terdiri daripada jabatan, bahagian, unit dan beberapa kelab di PoliPD khusus bagi memudahkan tugas ketika melaksanakan aktiviti.

"Misi atau objektif SPeNA ialah menyelaras misi bantuan pasca banjir bagi membantu kakitangan, penuntut dan komuniti setempat dengan membersih, servis dan membaikpulih peralatan elektrik yang terkesan dengan banjir, seperti mesin basuh, peti ais dan komputer riba.

"Kami juga memberikan bantuan dan sokongan tenaga, kepakaran serta teknikal kepada mangsa yang terkesan dengan banjir sejak hampir dua minggu lalu," ujarnya.

Razali berkata, sukarelawan dibahagikan kepada kumpulan yang setiap satunya diketuai seorang komandan yang akan mengkoordinasi penugasan di lokasi dan berhubung dengan SPeNA@PoliPD.

"Komandan bertindak sebagai Person Incharge (PIC) setiap penugasan yang mana mereka akan menyelaras misi bantuan pasca banjir bagi membantu kakitangan, penuntu dan komuniti setempat.

"Alhamdulillah, sukarelawan kami ini dapat melakukan tugas membantu mengikut kebolehan dan kepakaran masing-masing terutamanya membaiki peralatan elektrik di rumah yang rosak selepas terkena banjir besar," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan membantu mangsa banjir namun ia bergantung kepada keadaan dan lokasi mengikut kemampuan.

Antara misi yang dilaksanakan PoliPD adalah di Kampung Sawah Liat, Jelebu, Negeri Sembilan; Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor; Kuartes JPS, Kampung Lombong, Klang, Selangor; Taman Langat Indah, Kuala Langat, Selangor dan Kampung Permatang Pasir serta Pengkalan Kempas, Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 6:40 PM