Sukarelawan ResQ Team UPSI bantu mangsa banjir bersihkan rumah. FOTO ihsan UPSI
Sukarelawan ResQ Team UPSI bantu mangsa banjir bersihkan rumah. FOTO ihsan UPSI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib mangsa banjir, seramai 48 sukarelawan ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turun padang menjalankan misi pasca banjir di enam rumah sekitar Kampung Seri Chepor, Chemor, Perak.

Misi pasca banjir itu diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Prof Madya Dr Muhammad Aqil Aryan Wong.

Menurut Dr Muhammad Aqil, misi yang membabitkan tujuh kakitangan, 25 penuntut dan 15 Kadet Kor SISPA UPSI dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda, lori dan dua bas dari unit pengangkutan UPSI.

"Matlamatnya adalah untuk meringankan beban mangsa banjir dalam proses membersihkan kawasan rumah selepas banjir dengan menyalurkan khidmat tenaga.

"Sebanyak enam rumah dibersihkan secara bergotong-royong oleh sukarelawan ResQ Team UPSI ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukannya sentiasa bersiap siaga untuk membantu mangsa banjir yang terjejas, sepanjang masa.

Katanya, misi dilaksanakan atas keprihatinan selain semangat kesukarelawan dalam membantu masyarakat ditimpa musibah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 7:08 PM