ORANG ramai meredah banjir ke tempat selamat di sekitar Jalan Labohan Dagang-Nilai hari ini. FOTO Bernama.
ORANG ramai meredah banjir ke tempat selamat di sekitar Jalan Labohan Dagang-Nilai hari ini. FOTO Bernama.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir @ KPT bagi menyelaras penyaluran bantuan kepada warga institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkesan akibat banjir melanda sebahagian besar daerah di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penuntut dan kakitangan IPT yang menghadapi kesukaran dan memerlukan bantuan boleh menghubungi nombor telefon 03-8870 6777,03-8870 6623,03-8870 6949 dan 03-8870 6628.

Beliau berkata, selain itu aduan boleh dibuat di emel [email protected] untuk tindakan lanjut.

"Semua IPT juga sudah diminta untuk membuka Bilik Gerakan Banjir bagi memudahkan penyaluran segera bantuan khususnya makanan dan keperluan asas lain kepada pelajar dan kakitangan IPT masing-masing.

"Selain itu, Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) turut digerakkan bagi menyediakan sukarelawan dalam kalangan warga IPT untuk bantuan pembersihan

pasca banjir kelak." katanya menerusi kenyataan media, malam ini.

Beliau menasihati semua penuntut supaya menjaga keselamatan diri masing-masing dan sentiasa pastikan berada di kawasan selamat.

"Saya juga mengambil kesempatan di sini mendoakan supaya semua warga KPT daripada ahli akademik, pengurusan IPT hinggalah ke para pelajar selamat daripada bencana ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 10:09 PM