MOHAMAD Azri. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MOHAMAD Azri. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ahmad Hasbi

Port Dickson: "Saya akan terus berkhidmat!. Tidak boleh terlalu gembira ( kebenaran lintas negeri ) kerana kes jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi," ujar wira barisan hadapan yang juga Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Port Dickson, Kapten PA Mohamad Azri Abu Hassan.

Menurutnya, demi negara, dia pernah tidak pulang ke rumah selama tiga bulan dan banyak masanya dihabiskan bertugas di pusat kuarantin berbanding bersama anak dan isteri.

Mohamad Azri berkata, dia diberi tanggungjawab menjadi Komandan QS Akademi Audit Nilai (AAN), di Bandar Enstek, Nilai, iaitu QS kedua yang diwujudkan di negara ini bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) Iran.

"Ia adalah misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Tehran, Iran. Salah satu negara yang paling teruk dilanda wabak Covid-19 pada 22 Mac 2020.

"Seramai 79 individu dibawa dan dikuarantin di QS berkenaan membabitkan petugas kedutaan bersama keluarga, anak kapal dan petugas barisan hadapan," katanya semalam.

Beliau berkata, misi berkenaan tamat pada 6 April 2020 sebelum ditugaskan sebagai Komandan QS PNB Ilham Resort Port Dickson, di sini, iaitu QS pertama yang diwujudkan di daerah berkenaan.

"Dalam masa sama juga, saya ditugaskan sebagai Komandan di QS Hotel Avillion Admiral Cove, di sini, bagi Misi HADR Magetan yang membawa balik pelajar Malaysia dari Jawa Timur, Indonesia pada 27 April lalu.

Mohamad Azri berkata, beliau turut bertanggungjawab menjadi Komandan QS Grand Lexis dan QS Akademi Imigresen Malaysia (AIM) selain turut ditugaskan sebagai Komandan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) AIM, PKRC Politeknik Port Dickson dan PKRC swasta Klana Beach Resort serta PKRC Ancasa Residence.

Katanya, dalam kesibukan mengetuai QS dan PKRC berkenaan, beliau turut terbabit dalam Operasi Tumpahan Minyak di Pantai Cermin dari 12 hingga 19 Oktober dan beberapa siri operasi lain membabitkan APM.

Menceritakan pengalamannya mengetuai beberapa QS dan PKRC, beliau berkata, pada permulaan QS diwujudkan, tidak ramai yang tahu mengenai risiko serta cara menguruskan bencana Covid-19 menyebabkan pasukannya menghadapi cabaran yang sukar.

"Pada peringkat permulaan saya sendiri tidak tahu sejauh mana wabak ini boleh merebak dan risiko yang bakal dihadapi. Pada masa itu saya tidak pulang ke rumah lebih tiga bulan kerana bimbang ia akan menjangkiti ahli keluarga.

"Saya hanya pulang ke rumah untuk menyerahkan barang keperluan dan wang saku kepada anak dan isteri. Namun, hanya mampu melihat mereka dari jauh kerana tidak berani masuk ke dalam rumah.

"Lama-kelamaan kami sudah dapat menyesuaikan diri dengan tugasan masing-masing. Ketika ini juga saya hanya pulang ke rumah pada hujung minggu sahaja," katanya yang memiliki dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam menjayakan siri HADR dan penugasan di QS serta PKRC.

END

Caption: 1. Pegawai Pertahanan Awam (PA) Daerah Port Dickson, Kapten PA Mohamad Azri Abu Hassan berbincang dengan pegawainya mengenai penugasan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Klana Beach Resort.

2. Mohamad Azri memantau kemasukan individu ke PKRC Klana Beach Resort.

3. Mohamad Azri berbual bersama kakitangan Klana Beach Resort yang dijadikan PKRC swasta.

Message

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 7:16 PM