Sukarelawan ResQ UPSI. FOTO ihsan UPSI
Sukarelawan ResQ UPSI. FOTO ihsan UPSI
Redzuan Muharam


Tanjung Malim: Kesungguhan Pasukan ResQ, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyumbang bakti di beberapa lokasi banjir mendorong orang ramai terus memberi sumbangan kepada pasukan sukarelawan itu dalam pelbagai bentuk termasuk peralatan untuk kegunaan mereka mencuci rumah mangsa.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang prihatin menyokong inisiatif Pasukan ResQ UPSI membantu mangsa banjir.

"Kami hargai sangat bantuan semua yang menyumbang. Ia membakar semangat anggota sukarelawan UPSI untuk bergerak ke lokasi yang memerlukan sumbangan tenaga untuk mencuci rumah mereka," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas kesanggupan kakitangan dan penuntut yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi rasa kemanusiaan dan keprihatinand alam membantu mangsa banjir.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata sukarelawan Pasukan ResQ sentiasa bersemangat untuk berbakti secara berpasukan dan menghayati semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.

"Berbekalkan semangat itu, mereka tidak berasa penat malah puas dengan segala sumbangan bakti untuk insan yang memerlukan bantuan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Penajaan dan Sumbangan Pasukan ResQ, Naim Rehman berkata, misi pasca banjir di Semantan, Temerloh, Pahang membabitkan 32 sukarelawan.

Katanya, misi diteruskan dengan membantu mangsa di Kampung Batu Kapur, Mentakab, Pahang manakala destinasi seterusnya tertakluk kepada keperluan semasa.

UPSI bukan sahaja aktif menggerakkan sukarelawan memberi sumbangan barangan keperluan dan bantuan tenaga penyelamat malah menghantar pasukan bantuan asas psikologi bertemu penduduk yang menghadapi trauma disebabkan banjir.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung UPSI Prihatin boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 08068010003264.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 5:28 PM