TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang pemandu bas dihukum penjara tujuh tahun di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas pertuduhan menjalankan aktiviti penyeludupan migran, Ogos tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Jamal Lukman, 42, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Hukuman berkuatkuasa bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu 11 Ogos 2021.

Hock Leng ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah memandang serius kesalahan dilakukan tertuduh dan mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam memandang dua daripada migran terbabit didapati positif Covid-19.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membawa tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia termasuk dua kanak-kanak berumur antara empat hingga 46 tahun, yang cuba diseludup keluar ke negara asal menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekatan jalan raya Esscom di Kilometer 143.5 Jalan Sapulut-Kalabakan, 9.30 pagi 11 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) yang boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Mohamad Arif Aizuddin Masrom manakala tertuduh diwakili peguam Raymond Guok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 11:44 AM