Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Dua lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 327.1 gram dua tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap buruh, Ardiansyah Sudirman, 33, dan pengusaha bot, Muhammad Taufiq Asis, 29.

Hock Leng ketika membacakan keputusan itu berkata, pihak pembelaan mengemukakan pembelaan bahawa kedua-dua tertuduh tidak berada di tempat kejadian selain pembelaan alternatif bahawa tertuduh tidak mengetahui isi kandungan kotak (barang kes) terbabit.

Katanya, kedua-dua pembelaan itu bagaimanapun gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kedua-dua tertuduh sememangnya mempunyai pengetahuan tentang dadah berkenaan dan berjaya membuktikan kedua-dua mereka mengedar dadah berkenaan," katanya.

Kedua-dua tertuduh yang juga rakan karib itu didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis Methamphetamine di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) lama dekat sini, pada jam 1 petang, 14 April 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan.

Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman sebat sehingga 15 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Ali Imran, manakala Ardiansyah diwakili peguam Jhassary Kang dan Andy Tay mewakili Muhammad Taufiq.

Kedua-dua  tertuduh dibawa keluar dari bilik bicara, selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari bilik bicara, selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:14 PM