ALBARIS Alunyo ketika hadir Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ALBARIS Alunyo ketika hadir Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, tidak mengenakan hukuman gantung sampai mati kepada pemuda warga Filipina, sebaliknya lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah membunuh rakannya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu ke atas Albaris Alunyo Iran, 24, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya pada tahap melampaui keraguan munasabah di akhir kes.

Lim dalam penghakimannya berkata, selepas mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan peguam bela tertuduh, mahkamah cenderung untuk tidak mengenakan hukuman mati atas faktor umur tertuduh yang muda selain ia adalah kesalahan pertama tertuduh.

Katanya, dalam kes ini tertuduh baru berusia kira-kira 21 tahun ketika kesalahan itu dilakukan dan dia masih mempunyai prospek untuk menjalani pemulihan.

"Mahkamah bagaimanapun sedar bahawa kesalahan dilakukan tertuduh adalah kesalahan yang berat dan kepentingan awam menuntut hukuman penjara yang melebihi hukuman minimum memandangkan usia muda si mati yang ketika itu 16 tahun.

"Justeru, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun kepada tertuduh (dari tarikh tangkap 26 Februari 2021) dan 12 sebatan," katanya.

Pada prosiding hari ini, mahkamah juga menggunakan budi bicaranya memutuskan tertuduh yang berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, perlu menjalani hukuman penjara dengan mengambil kira Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Melalui peruntukan akta itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, perlu juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Sepanjang prosiding perbicaraan bermula November sehingga Disember tahun lalu itu, Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain memanggil seramai lapan saksi manakala pihak pembelaan yang wakili peguam lantikan Sukarni Ambotuwo menampilkan dua saksi.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman memandang tertuduh bukan warga Malaysia dan tidak berhak untuk menetap atau tinggal di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 9:15 PM