Tertuduh diiringi anggota Jabatan Imigresen Malaysia. FOTO Aizat Sharif
Tertuduh diiringi anggota Jabatan Imigresen Malaysia. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


SEORANG pemandu bas ekspres dihukum penjara tiga tahun di Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini atas pertuduhan membawa lima etnik Rohingya warga Myanmar yang cuba diseludup keluar dari Bukit Kayu Hitam pada Mei tahun lalu.

Hakim Datuk Hashim Hamzah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Abdillah Ab Wahab, 35, dari Sungai Petani mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Hashim juga memutuskan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh dihadapkan ke mahkamah untuk dituduh iaitu pada 2 Januari tahun ini.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan penyeludupan migran.

Namun, dia ditawarkan pertuduhan pilihan iaitu Seksyen 26J ATIPSOM 2007 kerana kesalahan mengangkut migran yang diseludup.

Mengikut pertuduhan itu, Mohd Abdillah didakwa mengangkut seorang wanita dan empat lelaki termasuk dua orang kanak-kanak etnik Rohinya warga Myanmar iaitu Aparuu Linthu, 26, Abdul Ghafur Mohd Yunus, 35, Mohd Uwaiz Abdul Ghafur, 6, Mohamad Onaz Abdul Ghafur, 5 dan Marjan, 38 yang diseludup menggunakan bas jenis Nissan GA dengan nama Ekspres Intertop di Kaunter Kawalan Bas Keluar 4, Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kedah pada jam 7.05 pagi, 4 Mei 2016.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 4:43 PM