GAMBAR hiasan. FOTO Artkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Artkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 33 kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan jumlah kes meningkat kepada 2,303 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes penyakit berjangkit yang dilaporkan itu adalah jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit dan 'acute gastroenteritis' (AGE).

"Mengikut pecahan daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 22 kes adalah penyakit ARI manakala 10 kes penyakit kulit dan satu kes AGE.

"Bagaimanapun, tiada kes baharu positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal 465 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terkini seramai 5,886 mangsa terjejas banjir dengan 98 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di lima negeri.

Katanya, PPS yang masih beroperasi itu membabitkan 66 PPS di Johor, Pahang (16), Sabah (sembilan), Melaka (empat) dan Negeri Sembilan (tiga).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 7:10 PM