GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan memberikan pilihan kepada jemaah umrah berurusan dengan pusat kuarantin swasta mahupun kemudahan disediakan kerajaan tepat dalam mengekang penularan Covid-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah Dan Haji (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, langkah itu dianggap tepat ketika penularan pantas Omicron di seluruh dunia pada masa ini.

Katanya, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) isytihar gejala Omicron hanya ringan, tindakan ini tepat dan bagus mengekang penularan.

"Dengan adanya kemudahan pusat kuarantin disediakan kerajaan, sudah tentu ia lebih terkawal dan dipantau serta mengelak jemaah sambil lewa ketika kuarantin.

"Kita tidak mahu apabila sudah merebak teruk dalam komuniti sukar hendak kekang penularan memandangkan apa yang kita ketahui, memang ramai jemaah yang balik umrah positif Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan memberi pilihan kepada jemaah umrah untuk berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta atau ditempatkan di kemudahan seliaan kerajaan selepas pulang ke tanahair.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dipetik berkata, langkah itu di dibuat selepas terdapat rungutan jemaah umrah yang terpaksa mengeluarkan kos tambahan serta tiada pilihan hotel apabila diarah menjalani kuarantin wajib mulai kelmarin selepas umrah ditangguhkan berkuatkuasa 8 Januari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, langkah itu juga memudahkan dan meringankan beban jemaah umrah yang baru pulang dari Tanah Suci.

"Ini bagus jemaah ada banyak pilihan sama ada berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta atau tempat yang disediakan kerajaan.

"Malah, jemaah yang ditempatkan di pusat kuarantin kerajaan tidak perlu risau lagi kerana semuanya lengkap dan kos penginapan serta makan minum juga ditanggung kerajaan.

"Ia sekaligus dapat mengelak mereka mengeluarkan bajet perbelanjaan tambahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 4:29 PM