GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 100 jemaah umrah Malaysia yang disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin di Makkah, kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Menurutnya, daripada jumlah itu, terdapat jemaah yang menerima rawatan di hospital berikutan mempunyai masalah kesihatan lain.

"Setakat laporan yang Papuh terima hari ini, anggaran dalam 100 orang yang kena kuarantin di sana, dalam kalangan ahli kami.

"Ada dua kumpulan jemaah (yang terbabit), masing-masing membabitkan kumpulan 55 orang dan lebih 40 jemaah, tetapi jumlah keseluruhan 104 orang.

"Kesemuanya sudah selesai menjalani ibadah umrah, namun ditahan kerana ujian saringan Covid-19 sebelum kembali ke tanah air didapati ada yang positif," katanya kepada BH hari ini.

Razali berkata, jumlah jemaah tanah air yang berada di Makkah semakin menurun dengan anggaran antara 2,000 ke 3,000 orang.

"Memandangkan negara akan menangguhkan sementara ibadah umrah, memang nampak pengurangan jumlah jemaah semasa... yang akan terbang pun dalam minggu ini menurun.

"Papuh menyeru supaya orang ramai yang ingin menunaikan umrah, ambil inisiatif sendiri dengan mencari hotel mengikut kemampuan masing-masing bagi kuarantin selepas pulang ke tanah air.

"Ini sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang terbeban untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada jemaah umrah," katanya.

Tambahnya, Papuh juga dalam usaha untuk bertemu pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia bagi membincangkan isu dihadapi sesetengah jemaah yang terpaksa membuat bayaran dahulu bagi rawatan di hospital sebelum membuat tuntutan semula kemudian.

"Kira-kira tujuh syarikat insurans yang kita berurusan ketika buat visa untuk jemaah dan ada antaranya yang minta jemaah bayar dahulu, inilah masalahnya.

"Jadi, kami berhasrat untuk berbincang lanjut mekanisme terbaik supaya tidak membebankan jemaah. Jika boleh pihak insurans Arab Saudi bayar terus untuk jemaah yang perlu mendapatkan rawatan di hospital dan sebagainya," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, jumlah kumulatif jangkitan varian Omicron meningkat kepada 122 kes dengan empat daripadanya adalah penularan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 3:03 PM