Dr Halimatus Sakdiah Minhat
Dr Halimatus Sakdiah Minhat
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tidak mustahil Malaysia akan menempuh gelombang ketiga Covid-19 lebih mencabar apabila kes membabitkan jangkitan Omicron semakin tinggi terutama mereka yang pulang dari negara berisiko.

Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, kelalaian pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama kelompongan kuarantin kendiri di rumah akan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes import dari luar negara.

"Tidak mustahil (kes meningkat) kerana penularan Omicron sangat pantas dan varian itu kemungkinan sudah ada dalam komuniti disebabkan pematuhan kuarantin kendiri di rumah yang tidak ketat dalam kalangan mereka yang balik dari umrah atau negara lain berisiko.

"Ramai yang hanya mementingkan pengambilan dos penggalak untuk membolehkan mereka menunaikan umrah, namun lupa peranan mereka dalam mengekang penularan kepada individu lain selepas kembalinya ke tanahair.

"Saya rasa mereka perlu hargai kebenaran yang diberikan terutama untuk menunaikan umrah dengan mematuhi semua SOP yang digariskan termasuk kuarantin kendiri di rumah misalnya selepas balik dari umrah," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas jangkitan kes Omicron dikesan dari pengembara terutama mereka yang baru pulang menunaikan umrah.

Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun Omicron dilaporkan hanya memberikan tahap jangkitan penyakit ringan, namun tidak mustahil ia boleh menjadi serius kepada golongan berisiko terutama warga emas, mereka yang mempunyai komorbiditi serta individu yang melangkaui tempoh pengambilan dos penggalak.

"Saya tidak merasakan penutupan sempadan secara menyeluruh perlu pada tahap ini, namun mungkin terdapat keperluan untuk mengekang kemasukan individu dari negara yang mempunyai jumlah kes atau varian Omicron yang tinggi.

"Seperti biasa untuk mengekang penularan secara efektif, kita harus mengenalpasti potensi sumber jangkitan yang mana kebelakangan ini Omicron banyak dikesan dari mereka yang baru balik dari umrah serta tidak dikuarantin dengan berkesan.

"Saya menyahut baik saranan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tentang pelaksanaan pemakaian peranti pengesanan digital untuk memastikan mereka patuh duduk di rumah serta keperluan untuk melaksanakan mereka yang tidak mengambil dos penggalak dianggap sebagai status vaksinasi tidak lengkap untuk memastikan kadar pengambilan penggalak yang tinggi," katanya.

Selain itu katanya, langkah pencegahan paling utama adalah kesedaran setiap individu dalam mematuhi SOP terutama pemakaian pelitup muka, mengelak tempat sesak serta mencuci tangan.

"Pastikan imbas MySejahtera setiap kali memasuki mana-mana premis ini penting supaya memudahkan pengesanan kontak.

"Premis yang tidak mematuhi SOP juga harus diambil tindakan lebih tegas bagi memastikan usaha kita dalam memerangi wabak ini terkawal dan tidak sia-sia," katanya.

Ahad lalu, Khairy mengumumkan jumlah kumulatif kes varian Omicron dikesan di negara ini berjumlah 62 kes dengan semalam enam lagi kes jangkitan Omicron dilaporkan di Pahang dan Pulau Pinang dari mereka yang baru pulang menunaikan umrah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 1:15 PM