GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu sentiasa dinamik dalam membuat keputusan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) terutama membabitkan pengembara dengan berasaskan data sains serta fakta yang tepat.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Profesor Dr Rusli Abdullah berkata, keputusan sama ada Malaysia perlu menambahbaik SOP di pintu sempadan negara bergantung kepada kemas kini terbaharu KKM.

Menurutnya, ia memerlukan penelitian daripada data epidemiologi, surveilan dan klinikal dari luar dan dalam negara.

"Lebih-lebih lagi apabila kita mengerjakan umrah, yang boleh memberikan kesan bukan sahaja situasi Covid-19 di Arab Saudi, tetapi juga risiko dibawa oleh jemaah dari negara lain.

"Memperkenalkan atau mengubah SOP berdasarkan keadaan semasa di Malaysia semata-mata bukanlah satu langkah yang komprehensif," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada SOP sedia ada perlu dikekalkan atau perlu penambahbaikan susulan keputusan kerajaan membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari bagi mengelakkan kerajaan menangguhkan lagi ibadah itu.

Menurutnya, SOP untuk keluar dari Malaysia termasuk mengerjakan umrah adalah tertakluk kepada peraturan negara destinasi.

"Yang lebih penting dan relevan bagi kita adalah SOP bagi pengembara memasuki Malaysia.

"KKM sebelum ini sudah mengeluarkan SOP yang sudah dikemas kini untuk pelawat memasuki Malaysia membabitkan rakyat tempatan, penduduk tetap, kakitangan diplomat, warga asing, pegawai dagang dan ekspatriat yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah terkini kerajaan membenarkan semula perjalanan untuk ibadah umrah adalah keputusan yang tepat.

"Apa yang penting sebagai langkah pencegahan, jemaah perlulah dalam kalangan yang sudah menerima vaksinasi lengkap termasuk dos penggalak.

"Selain itu pematuhan kepada SOP sangat perlu ditegas dan dilaksanakan jemaah umrah dengan pemantauan rapi pihak berkenaan.

"Sejurus pulang daripada mengerjakan umrah kelak, pastikan jemaah dikuarantin di tempat kuarantin wajib yang tersedia untuk mereka dan wajib jalani ujian saringan Covid-19," katanya.

Kabinet semalam membuat keputusan umat Islam di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Bagaimanapun, beliau dipetik berkata, garis panduan SOP baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah, selepas ini.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 1:18 PM