FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan dirayu mempertimbangkan bantuan kepada pengusaha dan jemaah umrah yang terkesan apabila kebenaran perjalanan ditangguh seketika akibat peningkatan kes varian Omicron.

Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Shamsulnidza Mudari berkata, agensi pengendali umrah tidak dapat pulangan semula caj penginapan hotel, pengangkutan dan pembayaran visa umrah berikutan segala urusan menggunakan sistem e-wallet.

"Isu ini amat rumit kerana bukan hanya jemaah, malah pengendali umrah juga turut terkesan kerana pelbagai caj yang sudah dibayar hampir 80 peratus itu tidak boleh dikembalikan kerana ia menggunakan e-wallet.

"Justeru, kita merayu kerajaan terutama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mungkin memberi pampasan supaya kita dapat membantu jemaah walaupun tidak dapat pulangkan sepenuhnya wang mereka.

"Bagi jemaah pula, kita berharap mereka dapat menerima ini dengan timbang rasa memandangkan agensi pengendali umrah juga menanggung kerugian banyak kesan penangguhan perjalanan umrah ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas isu penangguhan sementara perjalanan umrah yang diputuskan kerajaan sebelum ini akibat penularan Omicron.

Bagaimanapun, pengusaha dan jemaah umrah berdepan kesukaran serta kerugian apabila beberapa caj yang sudah dibayar sebelum perjalanan tidak dapat pulangan apabila segala urusan menggunakan sistem e-wallet yang disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sementara itu, Pengerusi Gemilang Travel Tour, Datuk Ayob Mat Aris menyifatkan, penangguhan kebenaran umrah itu satu 'bencana' dan seharusnya pihak terjejas diberikan bantuan sewajarnya.

"Bukan salah pihak sana (Arab Saudi) kerana dari segi peraturan memang jelas dinyatakan tiada pulangan apabila sudah membuat bayaran dalam e-wallet itu.

"Ini (penangguhan umrah) juga seperti 'bencana' kepada kami kerana apabila dibenarkan beroperasi selepas 18 bulan tiada pendapatan, ramai pengusaha bergolok gadai membuka perniagaan termasuk mengambil pekerja dan membayar caj- caj operasi lain dan kini terpaksa menanggung kerugian lagi.

"Jadi, kita harap kerajaan pertimbangkan nasib jemaah dan pengendali umrah sekurang-kurangnya berilah pampasan bagi meringankan kesengsaraan dialami semua pihak terjejas kesan penangguhan ini," katanya.

Dalam pada itu, Reen Desa, 43, yang sepatutnya menunaikan umrah bermula 15 Januari ini berharap kerajaan memperhalusi lagi keputusan penangguhan itu berikutan kebanyakan jemaah sudah membuat pembayaran penuh kepada pihak agensi untuk menguruskan perjalanan mereka.

"Kita memahami langkah kerajaan itu (tangguh perjalanan) demi mengekang penularan jangkitan varian Omicron, namun kita meminta jasa baik kerajaan supaya melepaskan kumpulan jemaah yang sudah membuat pembayaran penuh ini pergi dulu.

"Ini lagi mudah untuk kerajaan kawal dalam kumpulan yang lebih bersasar.

"Jadi kerajaan tidak perlulah membayar pampasan kerana kita juga sedia maklum dan tidak mahu menambah beban kerajaan yang ketika ini mengeluarkan banyak peruntukan membantu mangsa banjir," katanya.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula hari ini bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan dan persediaan rapi pengurusan jemaah umrah berikutan peningkatan kes Omicron dalam kalangan mereka yang menunaikan umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 3:08 PM