Ekhwan Haque Fazlul Haque


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum bercadang untuk menangguhkan perjalanan rakyat Malaysia menunaikan ibadah umrah susulan peningkatan kes positif varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya kini meningkatkan pengawasan kuarantin dengan memperkenalkan pemakaian peranti pengesan digital sebaik jemaah tiba di Malaysia.

Menurutnya, KKM terus melaksanakan saringan ketat ketika pra pelepasan, ketibaan dan hari kelima kuarantin untuk memastikan jemaah yang pulang bebas daripada dijangkiti varian Omicron.

Katanya, jemaah yang pulang juga digalakkan untuk menjalankan ujian kendiri setiap hari sepanjang Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"Syarikat dan agensi pelancongan juga perlu memastikan jemaah yang mahu menunaikan umrah agar menerima suntikan dos penggalak sebelum mengerjakan umrah.

"Langkah ini dibuat kerana KKM mengesan beberapa kes jemaah yang pulang disahkan negatif ketika saringan pra pelepasan dan pintu ketibaan, namun positif pada hari kelima," katanya dalam sidang media, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Khairy berkata, KKM juga masih mengekalkan arahan HSO untuk setiap jemaah umrah yang pulang setakat ini, namun akan menilai keperluan untuk menjalani kuarantin di stesen kuarantin disediakan.

"Bagaimanapun, sebarang perubahan arahan akan dibuat selepas mengambil kira keadaan terkini penularan varian Omicron di Arab Saudi dan jumlah jemaah yang positif varian itu sebaik pulang daripada mengerjakan umrah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, KKM sudah meminta syarikat pengendali untuk menambah bilangan kaunter dan kakitangan untuk proses pemakaian peranti pengesan digital di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelak kesesakan.

Katanya, penambahan itu kelak akan mempercepatkan proses pemakaian peranti pengesanan digital kepada jemaah yang pulang ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 5:50 PM