Seramai empat individu diberkas susulan siasatan kes rasuah mendapatkan projek menerusi program khas kerajaan bernilai RM114 juta.
Seramai empat individu diberkas susulan siasatan kes rasuah mendapatkan projek menerusi program khas kerajaan bernilai RM114 juta.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Seramai empat individu antaranya pengarah urusan dan pengurus besar dua syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan projek menerusi program khas kerajaan bernilai RM114 juta.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 38 hingga 65 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

Tambahnya, suspek ditahan masing-masing seorang pengarah urusan dan pengurus besar daripada dua syarikat berbeza manakala dua lagi ialah pengarah syarikat daripada syarikat sama.

Katanya, seorang suspek berusia 65 tahun (pengarah urusan) dikatakan bertindak sebagai orang tengah dengan meminta dan menerima rasuah daripada dua pengarah syarikat itu dengan dibantu oleh seorang lagi suspek (pengurus besar).

"Orang tengah terbabit dipercayai meminta sebanyak tiga sehingga lima peratus daripada jumlah projek sebagai balasan membantu syarikat itu mendapatkan projek di bawah program khas kerajaan.

"Projek itu adalah projek membina dan menaik taraf jalan di selatan tanah air," ujarnya.

Susulan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 11 Januari sehingga 16 Januari 2023 selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Dato' Tan Kang Sai mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 5:03 PM