FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seorang pesara sebuah syarikat milik kerajaan dan seorang pengurus syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat, hari ini.

Kedua-dua individu lelaki berusia 61 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan nilai kira-kira RM500,000.

Menurut sumber, mereka ditahan di Pejabat SPRM Johor Bahru antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2019 hingga 2020, suspek pesara yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus syarikat milik kerajaan di Segamat dipercayai menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja kontrak perladangan di daerah itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Kedua-kedua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok, bagi mendapatkan permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 7:56 PM