GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bekas pengurus projek direman bagi membantu siasatan menerima suapan sebagai balasan untuk memberi kerja-kerja pembekalan dan pemasangan papan tanda dan logo kepada sebuah syarikat.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki berusia 41 tahun itu ditahan petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 3 April 2022 dikeluarkan Majistret Wong Chai Sia terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Sumber berkata, suspek dipercayai menerima suapan bernilai RM30,000 melalui akaun bank syarikat miliknya daripada seorang pengurus syarikat lain sebagai balasan untuk memberi kerja-kerja membekal dan memasang papan tanda dan logo kepada syarikat itu bagi sebuah stesen televisyen tempatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman berkenaan.

Beliau berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

#k

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 3:37 PM