Mayat reput belum diketahui identiti ditemukan di pesisir pantai Kampung Mengabang Panjang. FOTO Ihsan Pembaca
Mayat reput belum diketahui identiti ditemukan di pesisir pantai Kampung Mengabang Panjang. FOTO Ihsan Pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Mayat reput tanpa identiti ditemukan terdampar di pesisir pantai Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit di sini hari ini.

Mayat itu ditemukan penduduk kira-kira 8 pagi tadi ketika melalui kawasan pantai berkenaan.

Sebaik melihat mayat itu, penduduk memaklumkan kepada polis berhubung penemuan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya masih mengesan identiti mayat berkenaan.

Beliau berkata, jantina mayat juga tidak dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang reput.

"Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Ketua Balai Polis Batu Rakit untuk proses pengecaman.

"Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:44 PM