MAYAT lelaki reput ditemui dalam parit di Kampung Air Asahan, Batu Gajah. FOTO Ihsan pembaca
MAYAT lelaki reput ditemui dalam parit di Kampung Air Asahan, Batu Gajah. FOTO Ihsan pembaca
Siti Rohana Idris

Tanah Merah: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan reput dalam sebuah parit di Kampung Air Asahan, Batu Gajah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.45 pagi mengenai penemuan mayat berkenaan.

"Mayat lelaki itu ditemui dalam parit si tepi jalan utama dan keadaannya yang sudah reput sukar untuk dibuat pengecaman.

"Setakat ini, tiada sebarang dokumen pengenalan diri diperoleh dan mayat dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Zainuddin berkata, hasil semakan berkaitan orang hilang, pihaknya mendapati terdapat satu laporan yang dibuat di Pasir Mas, minggu lalu.

Katanya, ahli keluarga berkenaan yang tampil membuat pengecaman mengesahkan mangsa adalah individu yang dilaporkan hilang.

"Polis tidak boleh membuat pengesahan mengenai perkara itu sebelum selesai proses bedah siasat.

"Tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut, namun sebarang perubahan tertakluk kepada keputusan bedah siasat nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 5:40 PM