FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Misteri kehilangan seorang penebang pokok sejak lebih dua minggu lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayat reput dipercayai individu terbabit di kawasan persisiran anak sungai di Kampung Buaya dekat Menora, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Allif Hakimi Zakaria, 20, yang dilaporkan hilang pada 18 Mei lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa yang menunggang motosikal di kawasan itu disyaki terbabas dari jalan utama susulan kesan tayar motosikal yang ditemukan masuk ke dalam kawasan semak sebelum jatuh ke tebing sungai.

Katanya, ketika ditemukan, mayat lengkap berpakaian dan memakai topi keledar serta terdapat motosikal di sisi mayat selain kad pengenalan ditemukan dalam beg pinggangnya.

Omar Bakhtiar berkata, jangka masa kematian disyaki adalah pada hari sama mangsa dilaporkan keluar rumah berdasarkan kepada keadaan mayat yang reput itu.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar sementara menunggu waris membuat pengecaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 10:13 PM