Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Kerja pembersihan pasca banjir di Dungun yang terjejas teruk akibat banjir dijangka selesai pada Jumaat ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerja membersihkan kawasan yang terjejas bermula kelmarin membabitkan pelbagai pihak dengan setakat ini, operasi pembersihan sudah mencapai lebih 50 peratus.

Menurutnya, operasi pasca banjir memfokuskan kampung yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang keempat membabitkan Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja, Kampung Belimbing dan Kampung Jongok Batu.

Katanya, terdapat lebih 500 sukarelawan termasuk Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu turut serta membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta rumah penduduk yang terjejas.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat turut serta dalam pasca banjir membersihkan kawasan yang terjejas banjir di Hulu Dungun, Dungun. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat turut serta dalam pasca banjir membersihkan kawasan yang terjejas banjir di Hulu Dungun, Dungun. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

"Setakat ini, lebih daripada daripada 50 peratus kerja pembersihan sudah selesai kerana selain sukarelawan, pemilik rumah juga membersihkan rumah mereka.

"Namun, ia ambil masa yang sedikit kerana ada lumpur dan kita harap kerja pembersihan ini dapat diselesaikan segera.

"Jika diikutkan, kawasan seperti balai raya dan masjid sudah dibersihkan cuma yang tinggal rumah penduduk dan sukarelawan yang ada akan terus melaksanakan kerja pembersihan itu setiap hari walaupun dalam skala yang kecil," katanya.

Banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan tiga rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.

Kejadian itu disifatkan bencana terburuk pernah dilalui mereka dalam tempoh 60 tahun di kampung berkenaan.

Setakat ini, seramai 473 mangsa daripada 157 keluarga masih berlindung di dua pemindahan sementara di Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 2:04 PM