POLIS memeriksa mayat wanita yang ditemui terapung. FOTO Ihsan PDRM.
POLIS memeriksa mayat wanita yang ditemui terapung. FOTO Ihsan PDRM.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Mayat wanita yang mula mereput ditemukan terapung dalam tasik berdekatan kawasan riadah Sky Ride Festival Park, Presint 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat wanita yang belum diketahui bangsa dan usia itu ditemui seorang pengawal keselamatan warga asing yang pada mulanya disangkakan patung ketika sedang membuat rondaan di taman tema berkenaan, kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, pengawal keselamatan terbabit kemudian memaklumkannya kepada seorang pengurus projek di taman berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.55 petang daripada orang awam yang memaklumkan penemuan satu mayat.

"Mayat yang berpakaian lengkap itu dipercayai sudah berada di dalam air antara dua hingga tiga hari itu dengan ketinggian dianggarkan kira-kira 160 sentimeter.

"Mayat dijumpai dalam keadaan terlentang menghadap ke atas berpakaian lengkap dan keadaan mayat mula mereput," katanya kepada pemberita.

Asmadi berkata, ketika ditemui mangsa memakai blazer berwarna hitam, t-shirt berwarna biru dan skirt pendek kain denim berwarna hitam serta tali pinggang skirt berlogo 'Versace' selain tidak memakai kasut atau selipar.

Menurutnya, turut ditemui pada mangsa tiga bentuk cincin perak di tangan kanan dan satu gelang tangan juga diperbuat daripada perak di pergelangan tangan kanan.

Bagaimanapun, Asmadi berkata, tiada barangan peribadi milik mangsa dikesan di sekitar kawasan sepanjang satu kilometer dari kawasan mayat terbabit ditemui.

"Semakan mendapati tiada rekod orang hilang dilaporkan dalam masa terdekat dan identiti mangsa belum dikenal pasti.

"Siasatan ke atas mayat dijalankan oleh pasukan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya pada 9.40 malam tadi untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi awal sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Berikutan itu, Asmadi berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Putrajaya di talian 03- 88862145 atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hafiza di talian 019 8926572.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 10:19 AM