KAPAL SuperStar Libra berlabuh di Pelabuhan Klang.
KAPAL SuperStar Libra berlabuh di Pelabuhan Klang.
Siraj Mohd Zaini


Pelabuhan Klang: Pengendali kapal persiaran mewah, Star Cruises memperkenalkan tiga pangkalan baru iaitu Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang di Malaysia serta Phuket, Thailand bagi mengembangkan sumber pasaran di Asia Tenggara, bermula 3 September lalu.

Naib Presiden Kanan Jualan Antarabangsa Genting Cruise Lines, Michael Goh berkata, pengenalan pangkalan itu bertujuan merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

“Ia membabitkan dua pelayaran setiap minggu, termasuk pelayaran tiga malam bermula dari Kuala Lumpur/Phuket/Pulau Pinang atau pelayaran empat malam iaitu Kuala Lumpur/Langkawi/Phuket/Pulau Pinang,” katanya pada majlis pengumuman tiga pangkalan baru Star Cruises, di sini.

Menurut beliau, Star Cruises menawarkan pakej terhad sehingga 10 September berharga RM699 untuk tiga malam dan RM899 untuk pakej empat malam menaiki kapal persiaran mewah berkenaan.

“Pelbagai aktiviti termasuk persembahan pentas, membeli-belah di premis bebas cukai dan pelbagai tempat rekreasi disediakan seperti kolam renang, spa dan jakuzzi.

“SuperStar Libra juga menawarkan pelbagai pakej penginapan di atas kapal bagi memenuhi keperluan dan bajet seperti kabin yang mempunyai ruang tamu untuk melihat pemandangan laut yang menakjubkan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Michael, Star Cruises turut akan menambah lokasi terbaru di dalam pakej pelayaran mereka dengan singgah di Pulau MacLeod, Myanmar bermula November depan.

“Pulau yang terletak di pantai barat Myanmar itu masih jauh dari laluan utama pelancong dan ia belum tercemar selain terpencil serta suasananya amat menakjubkan.

“Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti menyelam, memancing dan berkayak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 9:57 AM