Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis menumpaskan kegiatan curi elektrik bagi melombong bitcoin secara haram yang terbesar membabitkan sejumlah rampasan RM3.5 juta di daerah ini, semalam.

Operasi bersepadu khas bermula 9 pagi hingga 10 malam itu turut menahan lelaki berusia 28 tahun yang juga penjaga premis di Ayer Tawar.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi itu dilaksana susulan aduan awam dan turut membabitkan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan.

Katanya, sejumlah 30 premis diperiksa dan kegiatan haram berkenaan telah mengakibatkan TNB kerugian RM2 juta.

"Kita merampas 1,720 unit mesin bitcoin dengan seunit dianggarkan bernilai RM2,000, 15 unit monitor, 22 Unit Pemprosesan Pusat (CPU), 16 unit papan kekunci, tujuh tetikus, 56 unit modem dan sebuah komputer riba.

"Turut dirampas sebuah Toyota Hilux, 44 unit ekzos kipas, lima unit alat penggera dan tujuh unit kamera litar tertutup (CCTV)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, rumah kedai yang digunakan untuk pengoperasian haram itu agak terlindung daripada orang ramai dan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang kegiatan.

Mior Faridalathrash (dua kanan) melihat sebahagian daripada barang yang dirampas dalam operasi bersepadu di Manjung, semalam. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Mior Faridalathrash (dua kanan) melihat sebahagian daripada barang yang dirampas dalam operasi bersepadu di Manjung, semalam. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.

"Lelaki yang ditahan itu direman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan serta Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Operasi ini adalah kejayaan terbesar bersama TNB tahun ini. Kita menyeru masyarakat diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan melombong (bitcoin) secara haram dan mencuri elektrik kepada IPD serta balai polis berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, menjelang ambang Tahun Baru 2022, pihaknya menerima permohonan daripada Tourism Perak untuk mendapatkan permit bagi acara sambutan dan bunga api.

Katanya, pihaknya juga akan mengadakan operasi khas esok bagi memantau dan memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 dan tidak melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:32 PM