Mesin dan peralatan bitcoin yang dirampas dalam Op Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar Manjung. FOTO IHSAN POLIS
Mesin dan peralatan bitcoin yang dirampas dalam Op Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar Manjung. FOTO IHSAN POLIS
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis menyerbu 16 premis melakukan kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin secara haram dalam Op Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar Manjung, di sini.

Dalam serbuan bermula jam 3.30 petang semalam hingga 4 pagi hari ini, polis merampas peralatan aktiviti itu dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi membabitkan 155 pegawai dan anggota polis dengan dibantu sembilan juruteknik khas TNB serta enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan.

Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan bagi menghapuskan kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk tujuan melombong bitcoin di sekitar daerah itu.

"Kita merampas 816 unit mesin bitcoin, 15 unit monitor, 17 Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dan 16 unit router Internet.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan usaha dalam melakukan operasi dan serbuan serta tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak dalam membendung kegiatan kecurian elektrik di seluruh negeri ini.

Katanya, polis juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihaknya jika mengesan individu atau premis yang dipercayai melakukan sebarang kesalahan jenayah.

"Pemilik bangunan yang menyewakan premis turut disaran untuk mengambil tahu aktiviti yang dilakukan penyewa supaya tidak terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 3:32 PM