PELAJAR yang menyertai bantahan pro-Palestin berkhemah di Universiti Washington, Washington. FOTO AFP
PELAJAR yang menyertai bantahan pro-Palestin berkhemah di Universiti Washington, Washington. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Protes pro-Palestin yang menggemparkan universiti di seluruh Amerika Syarikat (AS) merebak ke lebih banyak kampus, pada Khamis.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa mula kelihatan hilang sabar dan polis mula bertindak.

Di Universiti California Los Angeles (UCLA), pasukan antirusuhan menggunakan perengsa bahan kimia dan peranti kejutan elektrik untuk menyuraikan peserta demonstrasi.

"Selama 201 hari, dunia membungkam memerhati Israel yang membunuh lebih 30,000 rakyat Palestin.

"Aktivis menyeru gencatan senjata dalam perang Israel dengan Hamas, serta kolej didesak supaya memutuskan hubungan dengan Israel termasuk syarikat dikatakan mendapat keuntungan daripada konflik kemanusiaan itu.

"Hari ini, UCLA menyertai pelajar di seluruh negara dalam menuntut universiti kami melepaskan diri daripada syarikat yang mendapat keuntungan daripada pendudukan Israel, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin," kata mesej yang disiarkan dalam talian oleh penganjur protes baharu di UCLA.

Lebih 200 penunjuk perasaan ditangkap pada Rabu dan awal Khamis di universiti di Los Angeles, Boston dan Austin serta Texas, di mana kira-kira 2,000 orang berkumpul semula pada Khamis.

Di Kolej Emory di Atlanta, gambar menunjukkan polis memegang peranti kejutan elektrik ketika polis bergelut dengan penunjuk perasaan di atas rumput.

Pegawai polis yang memakai topeng gas menggunakan ikatan zip untuk menahan penunjuk perasaan, lapor laman web berita kolej itu, Emory Wheel.

Jabatan Polis Atlanta (APD) berkata, kolej itu meminta bantuan pihak berkuasa dalam "mengamankan semula kampus".

Protes yang merebak di pusat pengajian tinggi AS bermula di Universiti Columbia di New York.

Bantahan itu menimbulkan cabaran besar kepada pentadbir universiti yang cuba mengimbangi komitmen kampus terhadap kebebasan bersuara dengan aduan bahawa perhimpunan melepasi garisan sewajarnya.

Penyokong pro-Israel yang bimbang keselamatan kampus mendakwa ada insiden anti-Semitik dan mendakwa, kampus menggalakkan ucapan berbaur ugutan dan kebencian.

Protes juga berlaku di Universiti New York dan Universiti Yale, menyaksikan berpuluh-puluh pelajar ditangkap, awal minggu ini, selain di Universiti Harvard, Universiti Brown, Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan Universiti Michigan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 11:23 AM