BOMBA bersama orang awam membantu mangsa selepas sebuah kereta terjatuh ke dalam gaung di Jalan Gunung Inas. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA bersama orang awam membantu mangsa selepas sebuah kereta terjatuh ke dalam gaung di Jalan Gunung Inas. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Wanita hamil tujuh bulan terbabit dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bersama suami dan anaknya, jatuh gaung di Jalan Gunung Inas, di sini, petang semalam, dimasukkan ke Zon Merah, Hospital Baling di sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa, Nur Raihan Rumli, 34, tidak mengalami kecederaan tetapi perlu dipantau di wad hospital berkenaan, disebabkan dia hamil tujuh bulan.

Beliau berkata, bagaimanapun suaminya, Abdul Jalal Mat Zaini, 26, dan anak mereka, Muhammad Adib Kamali Abdul Jalal, 3, tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan mendapati, kemalangan itu berlaku pada 7 malam yang membabitkan kereta dipandu suri rumah terbabit. Ia dipercayai terbabas di lokasi kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati, ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari rumah mentua pemandu (Nur Raihan) di Kampung Baru Kuak Luar, Pengkalan Hulu, menghala ke Baling.

"Namun sebaik sampai di tempat kejadian, ketika menuruni bukit dan keadaan jalan selekoh, pemandu kereta terbabit hilang kawalan lalu kenderaan itu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, akibat kemalangan itu, kereta terbabit terbalik dan remuk.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 9:39 AM