GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Empat lagi rumah kedai yang yang dipercayai menjalankan kegiatan 'perlombongan' mata wang digital bitcoin diserbu polis di empat lokasi, hari ini.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam 11.30 malam hingga 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama dilakukan terhadap rumah kedai di Metro Avenue, Lintang Hajjah Rehmah, di sini, dan merampas 78 mesin 'melombong bitcoin'.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dijalankan di Blok 88 Jalan Jelutong dan sebanyak 48 lagi mesin dirampas.

"Masing-masing 38 dan 47 lagi mesin melombong bitcoin dirampas ketika serbuan di Lorong Helang 2, Sungai Dua dan Lintang Sungai Tiram 5, Bayan Lepas.

"Kesemua premis terbabit melakukan penyambungan elektrik secara haram bagi menjalankan operasi perlombongan berkenaan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Turut dirampas ialah 11 unit 'router', 10 kipas angin serta masing-masing empat set komputer dan modem.

Soffian berkata, pemeriksaan TNB mendapati kabel elektrik di semua premis berkenaan sudah diubahsuai bertujuan bagi mencuri bekalan elektrik.

Katanya, kegiatan haram itu terbongkar susulan penahanan empat lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 35 tahun menerusi serbuan di premis rumah kedai di tiga lokasi berasingan di sini, semalam.

"Ia menjadikan keseluruhan 411 mesin yang dirampas di tujuh lokasi itu bernilai RM180,000.

"Nilai kerugian yang dialami TNB dianggarkan sebanyak RM420,000 bagi tempoh dua bulan dan bekalannya sudah dipotong oleh petugas syarikat berkenaan," katanya.

Terdahulu, polis melakukan serbuan di Jalan Perak, Jalan Van Praagh dan Jelutong semalam, dan merampas 200 mesin melombong emas dianggarkan bernilai RM80,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat penyambungan elektrik.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Letrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 12:44 PM