RUSDI menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di Dataran Perkasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.  foto BERNAMA
RUSDI menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di Dataran Perkasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lima anggota polis disyaki terbabit kes samun warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak di sini, 7 April lalu, bakal berdepan tindakan dalaman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan siasatan kes berkenaan.

"Kelima-lima anggota masih bertugas, namun tidak aktif.

"Siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan menunggu keputusan serta arahan lanjut (Timbalan Pendakwa Raya) sebelum dibuat apa-apa keputusan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan polis giat mengesan seorang lelaki yang disyaki terbabit kes samun warga asing.

Mohamad Ardzwan Mohd Anuar, 34, yang juga suspek kelapan dikehendaki bagi membantu siasatan selepas penahanan tujuh individu termasuk lima anggota polis.

Rusdi dilaporkan berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagaimanapun dikembalikan semula bagi melengkapkan beberapa perkara.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, ada beberapa perkara lagi perlu ditambah dalam siasatan sebelum dikembalikan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Daripada kesemua suspek itu, ada peranan masing-masing dan antaranya kita akan pilih menjadi saksi untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan termasuk mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

"Tapi tindakan jabatan itu mesti ada (terhadap anggota polis terbabit)," katanya.

Pada 9 April lalu, Harian Metro melaporkan tujuh individu termasuk lima anggota polis, diberkas kerana disyaki menyamun seorang lelaki warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak, sehingga menyebabkan kerugian RM260,000.

Kesemua ditahan terdiri daripada lima anggota polis, seorang bekas polis dan seorang individu awam berusia 28 hingga 41 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 10:10 AM