HOO (tiga dari kiri) memeriksa premis perlombongan bitcoin dalam serbuan di Bahau malam tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
HOO (tiga dari kiri) memeriksa premis perlombongan bitcoin dalam serbuan di Bahau malam tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Polis membongkar kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan melombong bitcoin yang menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian ratusan ribu ringgit di lima premis di Bahau di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, serbuan dijalankan jam 11.30 malam bersama 'Special Engagement Against Losses' (SEAL) TNB.

Katanya, ia adalah operasi terbesar berkaitan perlombongan bitcoin di daerah ini.

"Dalam operasi bersepadu itu, polis merampas 190 unit mesin bitcoin dengan nilai rampasan berjumlah RM380,000.

"Kesemua premis ini dipercayai sudah beroperasi di antara dua hingga 12 bulan menyebabkan TNB mengalami kerugian sebanyak RM216,487.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun siasatan masih dijalankan termasuk mengenal pasti dalang sama ada pemilik premis atau penyewa mempunyai kaitan dengan kegiatan itu," katanya pada sidang media di Pusat Perniagaan Ara, Bandar IOI, di sini, semalam.

Chang Hook berkata, sindiket itu menggunakan premis tingkat atas sebagai kegiatan perlombongan bitcoin bagi mengelakkan disedari pihak berkuasa.

Katanya, set mesin bitcoin, unit pemprosesan pusat (CPU), monitor dan modem antara yang dirampas polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 10:19 AM