PENJARA Suleja. FOTO Penjara Nigeria.
PENJARA Suleja. FOTO Penjara Nigeria.
Agensi

Abuja: Lebih 100 banduan di Penjara Suleja, mengambil kesempatan melarikan diri semasa banjir selepas hujan lebat merosakkan sebahagian kawasan penjara terletak berhampiran ibu negara Nigeria itu.

BBC melaporkan, pihak berkuasa berkata, 118 banduan melarikan diri, tetapi 10 banduan berjaya ditangkap semula.

Pihak berkuasa masih memburu baki banduan yang melarikan diri.

Identiti banduan tidak jelas pada ketika ini tetapi terdapat kebimbangan bahawa sesetengah banduan mungkin berbahaya.

Satu kenyataan dari penjara berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi keselamatan lain dan meminta orang ramai supaya tidak takut untuk melakukan aktiviti seperti biasa.

"Kami sudah berjaya menangkap semula 10 banduan yang melarikan diri dan membawa mereka ke dalam tahanan, usaha dipertingkatkan untuk menangkap semula saki-baki banduan berkenaan," menurut kenyataan daripada pihak berkuasa penjara.

Antara yang rosak sewaktu banjir adalah pagar perimeter penjara dan ia menunjukkan bahawa sudah banyak kemudahan di Penjara Suleja dalam keadaan usang dan semakin tidak kukuh.

Penjara terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari Abuja itu dibina semasa era penjajah.

Banyak penjara Nigeria penuh sesak dan kekurangan kemudahan asas, walaupun pihak berkuasa berkata, mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Agensi meteorologi Nigeria, baru-baru ini, mengeluarkan amaran hujan lebat dan banjir di beberapa negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 10:39 AM