MIOR Faridalathrash memperdengarkan bacaan khutbah Jumaat di Masjid Jamek Al-Marbawi, Lubuk Merbau menerusi program High Profile Policing (HPP) Polis Perak Solat Jumaat PDRM Perak bersama masyarakat Lubuk Merbau. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MIOR Faridalathrash memperdengarkan bacaan khutbah Jumaat di Masjid Jamek Al-Marbawi, Lubuk Merbau menerusi program High Profile Policing (HPP) Polis Perak Solat Jumaat PDRM Perak bersama masyarakat Lubuk Merbau. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Padang Rengas: Polis Perak mengambil pendekatan terbuka bagi menyiasat pegawai khususnya dalam kalangan Ketua Polis Daerah (KPD) yang terpalit dakwaan bersubahat dengan aktiviti haram termasuk perjudian yang tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, buat masa ini beliau tidak dapat mengesahkan ada dalam kalangan KPD negeri ini terpalit dakwaan sedemikian justeru menyerahkan perkara itu untuk tindakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kalau betul maklumat yang ditularkan itu, saya bersikap terbuka kepada siasatan oleh pihak JIPS," katanya pada sidang media sempena program High Profile Policing (HPP) Polis Perak Solat Jumaat PDRM Perak bersama masyarakat di Masjid Jamek Al-Marbawi, Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tular di media sosial berkaitan Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi yang didakwa melindungi kegiatan kedai judi di daerah itu.

Dakwaan itu bersumberkan dari kumpulan Telegram serta akaun Twitter yang menggunakan nama 'Edisi Siasat'.

Mior Faridalathrash berkata, bagaimanapun beliau sebaliknya memuji Nor Omar yang disifatkan bertindak secara berkesan dalam membasmi aktiviti haram di Manjung.

Beliau juga tidak menolak bahawa dakwaan terpalit aktiviti haram berkenaan berpunca daripada pihak yang tidak menyukai usaha yang dilakukan polis dalam membasmi aktiviti haram.

"Mungkin orang tak suka dia (Nor Omar) sebab dia 'all out' (sehabis mungkin) membanteras aktiviti haram sebegini (judi). Namun bagaimanapun kalau maklumat yang ditularkan itu betul, saya terbuka kepada siasatan JIPS.

"Apapun, setakat ini saya boleh sahkan bahawa daerah Manjung sudah ambil tindakan tegas terhadap aktiviti-aktiviti haram di daerah itu, termasuk perjudian, pelacuran, kongsi gelap, serta perlombongan Bitcoin secara salah iaitu dengan mencuri aliran elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Media sebelum ini pernah beberapa kali melaporkan mengenai siasatan polis ke atas pemilik portal Edisi Siasat yang kerap menyiarkan berita sensasi mengenai isu rasuah, salah guna kuasa, serta penyelewengan dalam kalangan agensi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:31 PM