Redzuan Muharam

Shah Alam: Bukan hanya membantu menghantar bantuan bekalan makanan, malah sukarelawan Pertubuhan Peduli Ummah (Si Peduli) berpeluang menimba pengalaman membantu pihak berkuasa membawa keluar mayat mangsa banjir yang ditemui di Taman Sri Muda, di sini.

Mayat itu ditemukan sendiri sukarelawan terbabit, Mohd Shafiq Fauzan Jemadi, 33, dan rakannya, Mohamad Zulfatah Adnan, 23, pada 10.20 malam Ahad lalu.

Ketika itu, mereka menaiki bot bersama dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dalam perjalanan menghantar bantuan bekalan makanan kepada mangsa.

Mohd Shafiq berkata, dia pernah menyertai misi bencana banjir sebelum ini, namun tiada pengalaman melihat mayat mangsa banjir di depan mata, apatah lagi membantu pihak berkuasa melakukan kerja menyelamat.

"Ketika itu, kami melakukan rondaan untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk di kawasan terbabit.

"Keadaan di situ gelap gelita dan ketika meninjau kawasan sekeliling dengan lampu suluh, saya dan Mohamad Zulfatah ternampak sekujur tubuh terapung dan tersepit di sebuah kereta.

"Kami maklumkan kepada anggota bomba bertugas dan membantu mengangkat mayat itu menaiki bot sebelum membawanya ke tempat berkumpul," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Shafiq terbabit dalam misi menyelamat mayat mangsa banjir dan menghantar bekalan makanan di Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO ihsan Si Peduli
MOHD Shafiq terbabit dalam misi menyelamat mayat mangsa banjir dan menghantar bekalan makanan di Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO ihsan Si Peduli

Mohd Shafiq berkata, dia dan Mohamad Zulfatah sempat membantu polis membungkus mayat sebelum dibawa ke hospital.

Menurutnya, ia antara pengalaman tidak dapat dilupakan semasa misi menyelamat dan menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda.

"Saya tidak jangka akan lakukannya, namun berjaya dengan kudrat yang ada dan bantuan pihak bomba dan polis," katanya.

Sementara itu, Mohamad Zulfatah berkata, pengalaman menyertai misi banjir di Taman Sri Muda pasti menjadi kenangan tidak akan dilupakan seumur hidup.

"Saya pernah menyertai beberapa siri bantuan sebelum ini, tetapi kebanyakannya membabitkan pengagihan sumbangan.

"Kali ini, saya dapat rasai pengalaman dua dalam satu iaitu menghantar bantuan dan membantu pihak berkuasa menyelamat mayat mangsa lemas akibat banjir.

"Sampai demam saya dibuatnya selepas pulang daripada misi itu, namun ia satu pengalaman berharga," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Si Peduli, Hanapi Muda berkata, seramai 40 sukarelawan pertubuhan itu dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur terbabit dalam misi kali ini.

SUKARELAWAN Si Peduli giat membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO ihsan Si Peduli
SUKARELAWAN Si Peduli giat membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO ihsan Si Peduli

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 9:17 PM