KAMPUS Sultan Abdul Jalil Shah. FOTO ihsan UPSI
KAMPUS Sultan Abdul Jalil Shah. FOTO ihsan UPSI
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan ResQ Team untuk membantu mangsa banjir di Selangor, hari ini.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pada setiap kali masyarakat ditimpa musibah banjir, UPSI akan menggerakkan pasukan ResQ untuk tampil membantu termasuk pasca banjir.

Beliau berkata, pasukan ResQ UPSI dalam misi bantuan itu diketuai Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Mohd Azlan Hanafiah bergerak ke Taman Seri Muda, Klang, Selangor.

"Pasukan membabitkan 15 sukarelawan terdiri daripada tiga staf dan 12 penuntut.

"ResQ Team menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori, dua dinghy serta dua enjin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, UPSI menjalankan lebih 40 misi bantuan terhadap mangsa banjir termasuk di Perak, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah.

Menurutnya, pasukan sukarelawan UPSI itu diharap dapat melaksanakan misi bantuan dengan lancar demi keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat ditimpa musibah banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:14 PM