Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Banjir di Hilir Perak pulih sepenuhnya dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS), di sini, yang dibuka sejak Ahad lalu ditutup, hari ini.

Seramai 95 mangsa daripada 24 keluarga sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas penempatan mereka didapati selamat untuk diduduki semula.

Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Bencana Daerah Hilir Perak, Saidi Shaari berkata, PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Batu 4 di Changkat Jong dan Dewan Bandaran Teluk Intan ditutup pada 12.30 tengah hari tadi.

"Pemantauan keadaan kawasan berlaku bencana banjir sudah beransur baik dan semua mangsa sudah kembali ke rumah masing-masing.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, penghulu, individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang terbabit membantu dan menyelaras selia PPS dengan terbaik sepanjang ia beroperasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua PPS berkenaan dibuka selepas penempatan penduduk dinaiki air susulan limpahan air Sungai Bidor akibat hujan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 2:11 PM
PPS di Dewan SMK Abdul Rahman Talib, Batu 4 di Changkat Jong ditutup. FOTO Ihsan APM
PPS di Dewan SMK Abdul Rahman Talib, Batu 4 di Changkat Jong ditutup. FOTO Ihsan APM