Pemandangan kesan tanah runtuh yang diambil menggunakan 'dron' di Jalan Simpang Pulai- Blue Valley (cameron Highlands). FOTO NSTP
Pemandangan kesan tanah runtuh yang diambil menggunakan 'dron' di Jalan Simpang Pulai- Blue Valley (cameron Highlands). FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Penduduk di kawasan cerun kritikal tahap tinggi diminta lebih berwaspada dengan kawasan sekitar dan mengambil tindakan segera jika wujud tanda-tanda awal berlakunya tanah runtuh, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, kawasan hot spots yang dikenal pasti ialah Bukit Antarabangsa dan Sungai Penchala di Selangor; Cameron Highlands, Pahang; Genting Peres, Negeri Sembilan; Gunung Jerai, Kedah; Bukit Canada Miri, Kapit dan Santubong di Sarawak; Keningau, Kampung Kiau-Melangkap-Kundasang-Ranau, Sandakan, Sepanggar dan Kota Kinabalu di Sabah serta 30 kawasan di Pulau Pinang.

"Orang awam diminta menghubungi segera talian Hotline Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri yang boleh didapati di portal rasmi JMG Malaysia (www.jmg.gov.my) untuk mendapatkan maklumat lanjut atau memaklumkan sebarang tanda atau kejadian tanah runtuh yang berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, pemantauan terhadap 220 cerun kritikal di seluruh negara oleh JMG sudah mengenal pasti 122 lokasi cerun tanah yang diklasifikasikan sebagai utama yang berpotensi berlakunya bencana tanah runtuh.

Beliau berkata, JMG juga sudah memuat naik maklumat berkenaan lokasi hot spots itu dalam media sosial rasmi jabatan seperti Twitter dan Facebook.

"Maklumat ini turut dikongsikan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan juga ahli Jawatankuasa Pelan Induk Cerun Negara yang turut dianggotai oleh semua pihak berkuasa tempatan yang berkenaan dan agensi yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat," katanya.

Menurutnya, Jabatan Meterologi sebelum ini melaporkan Fasa Timur Laut sudah bermula pada 3 November lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan dengan beberapa siri hujan lebat secara menyeluruh akan berlaku di kebanyakan negeri dengan purata hujan di antara 50 milimeter (mm) hingga 850 mm.

Katanya, lebih 100 kejadian tanah runtuh direkodkan di Kuala Lumpur dan Selangor berpunca daripada curahan hujan berterusan yang berlaku pada 16 hingga 19 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 7:17 PM