GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Keningau: Seorang kerani wanita di sebuah pasar raya cedera ditikam dan disamun di hadapan bank di pekan Tambunan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa berusia 20-an, yang cedera di perut dikatakan membawa wang majikan hasil jualan sebanyak RM120,000.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, wang itu dilarikan suspek dalam kejadian itu.

Katanya, ketika kejadian mangsa bersama rakan keluar dari kereta menuju ke bank untuk memasukkan wang majikannya.

"Ketika itu, rakan mangsa menunggu di dalam bank. Bagaimanapun mangsa kembali semula ke kereta kerana terlupa MyKad miliknya.

"Ketika dalam perjalanan ke kereta, seorang individu tidak dikenali memakai topi keledar dan baju hitam terus menyerang dan menikam mangsa di bahagian perut sebelum menyamun beg dibawa mangsa lalu melarikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, mangsa yang cedera itu dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, polis sedang giat mengesan suspek dan menjalankan Op Tutup di sekitar pekan Tambunan.

Menurutnya, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan orang ramai yang memiliki maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 11:08 PM