MANGSA dihantar ke hospital selepas melecur di bahagian badan dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan. FOTO ihsan Bomba
MANGSA dihantar ke hospital selepas melecur di bahagian badan dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan. FOTO ihsan Bomba
Juwan Riduan


Keningau: Akibat selisih faham dengan isteri, seorang lelaki nekad membakar rumahnya hingga musnah dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan, malam tadi.

Malah, tindakan lelaki berusia 62 tahun terbabit turut memusnahkan kereta miliknya, malah badannya turut melecur 40 peratus.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.36 malam, dan memaklumkan kepada bomba.

Katanya, kejadian menyebabkan seorang lelaki yang juga pemilik rumah cedera.

"Menurut saksi, tubuh mangsa melecur ketika menyalakan api.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit berselisih faham dengan isterinya sehingga sanggup membakar rumahnya sendiri," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, lapan anggota bersama jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebuah rumah terbakar sepenuhnya, manakala trak pikap Isuzu D Max terbakar 30 peratus.

"Lelaki yang melecur di pada badan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Operasi terkawal jam 11.10 malam dan ditamatkan sejam kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 12:36 PM