GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Ia sekali gus menjadikan tiga daerah di Terengganu terjejas akibat bah itu selepas Setiu dan Dungun.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu sehingga 1 tengah hari menunjukkan keseluruhan 57 mangsa membabitkan 13 keluarga sudah dipindahkan ke tiga PPS.

Di Kemaman, PPS Dewan Sivik Air Putih dibuka bermula 8 pagi yang sehingga kini menempatkan 24 mangsa daripada lima keluarga.

Mangsa banjir di Dungun pula meningkat kepada 29 orang daripada tujuh keluarga, berbanding 17 mangsa (4 keluarga) sebelum ini di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Setiu kekal dengan empat mangsa daripada satu keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kasar Hulu Nerus.

Ketika ini, hujan lebat masih melanda kebanyakan kawasan di Terengganu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan waspada membabitkan lapan negeri hari ini, dengan hujan peringkat bahaya atau merah dijangka berlaku di Kemaman, Terengganu dan Kuantan, Pahang.

Hujan berterusan peringkat buruk atau jingga pula dijangka di seluruh Kelantan termasuk Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 2:36 PM