Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Dalang sindiket yang disyaki terbabit membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Balau, di sini, sudah dikenal pasti.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, bagaimanapun, pihaknya masih belum dapat mendedahkan identiti dalang berkenaan.

"Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah kenal pasti dalang serta sindiket yang bawa Pati dalam insiden bot pancung karam yang mengorbankan 19 mangsa sehingga kini.

"Tindakan lanjut masih lagi dalam proses kerana PDRM sedang memantau dalang dan sindiket berkenaan ketika ini.

"Buat masa ini, kita belum dapat mengulas secara terperinci mengenai dalang sindiket ini walaupun ia sudah dikenal pasti. Ini kerana siasatan dan pemantauan sedang berjalan.

"Pihak berkuasa Malaysia juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam menjejaki dalang dan sindiket ini," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada tekong yang terbabit dalam insiden bot karam berkenaan membabitkan warga Malaysia, Indonesia atau kedua-dua negara, Simon berkata, maklumat rasmi masih belum dapat dikeluarkan buat masa ini mengenai perkara itu.

"Namun kertas siasatan sudah dibuka PDRM. Seramai 14 mangsa yang selamat juga sudah diserahkan pada Jabatan Imigresen kerana mangsa tiada dokumen diri, bukan dari Malaysia dan disahkan sebagai Pati," katanya.

KASUT dan selipar milik Pati yang dijumpai di perairan Tanjung Balau. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KASUT dan selipar milik Pati yang dijumpai di perairan Tanjung Balau. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 4:18 PM