Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang penjual ayam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik ipar perempuan berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 33 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap adik ipar berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Sungai Durian, dekat Kuala Krai pada 23 November lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Seorang penjual ayam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan adik ipar perempuan yang berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Sungai Durian, dekat Kuala Krai pada 23 November 2021. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Ahmad Bazli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh menjelaskan wang jaminan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 1:28 PM