Pasukan bomba cuba menyelamatkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan CPR sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik KKM. FOTO IHSAN BOMBA
Pasukan bomba cuba menyelamatkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan CPR sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik KKM. FOTO IHSAN BOMBA
Juwan Riduan


Kudat: Niat seorang lelaki menyelamatkan pelancong wanita yang hampir lemas berakhir tragedi apabila dia hilang sebelum ditemukan mati lemas di Pantai Hisbiscus Villa, Jalan Kampung Marang Parang di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Estilly Lieo Uainis, 19, dikatakan menyedari seorang wanita warga asing meminta tolong di tengah laut.

Mangsa yang dikatakan baru saja bekerja di pusat pelancongan berkenaan terus bertindak terjun ke laut dan cuba menyelamatkan pelancong terbabit, bagaimanapun dia dilaporkan hilang selepas hanyut dibawa ombak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

"Mengikut laporan awal, wanita pelancong yang dikatakan hampir lemas terbabit berjaya diselamatkan oleh rakan sekerja mangsa.

"Manakala, mangsa pula dikatakan hilang hampir sejam sebelum ditemukan rakan sekerja lain yang berusaha mencarinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ishak berkata, mangsa diberikan rawatan awal (CPR) oleh pasukan bomba namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan pada jam 1.35 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 4:50 PM