LOKASI kejadian mangsa lemas di Kampung Labuan Sama, Kudat. FOTO ihsan Bomba
LOKASI kejadian mangsa lemas di Kampung Labuan Sama, Kudat. FOTO ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kudat: Lelaki apabila ditemukan lemas ketika membantu seorang nelayan yang cuba mengejar bot hanyut di Kampung Labuan Sama di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, Jafridin Jawatan, 52, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diselamatkan pasukan bomba yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Rakan mangsa yang berusia 53 tahun dan nelayan yang berusia 37 tahun itu selamat tanpa sebarang kecederaan serius.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.50 pagi.

Menurutnya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

"Mengikut maklumat diterima, kejadian berpunca apabila seorang lelaki yang sedang menjalankan aktiviti nelayan disedari cuba berenang untuk mengejar bot miliknya yang hanyut.

"Mangsa yang maut dalam kejadian ini dan rakannya pula cuba membantu sebelum bot mereka terbalik dipukul ombak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa kemudiannya cuba berenang ke tepi pantai sebelum dibantu pasukan bomba menggunakan tali.

Katanya, dua daripada mangsa terbabit dilaporkan selamat, manakala mangsa pula dikatakan tidak sedarkan diri.

"Mangsa diberikan bantuan rawatan awal (CPR) oleh pasukan bomba di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Kudat menaiki Kenderaan Utiliti Bomba untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan operasi ditamatkan pada 12.30 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:49 PM