ABANG Johari (tengah) tiba di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. FOTO Aizuddin Saad
ABANG Johari (tengah) tiba di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Haizan Hasam


Gedong: Pengundi di seluruh negeri ini diseru memberikan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membolehkan dasar pemulihan ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19 diteruskan tanpa gangguan.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, kerajaan negeri yang diterajui parti itu melaksanakan dasar berkenaan dan rakyat perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan ia tidak terjejas akibat perubahan tampuk kepemimpinan.

"Kerajaan kita sekarang mempunyai dasar-dasar sosial dan ekonomi sehingga 2030 dan disebabkan oleh Covid-19, kita nak pulihkan keadaan ekonomi kita.

"Saya harap rakyat juga memainkan peranan dengan melihat masa depan Sarawak untuk anak cucu mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 18 Disember ini, Abang Johari ditentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sarbini; calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Kamal Bujang dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

Ini merupakan kali pertama Abang Johari bertanding di DUN Gedong selepas berpindah dari DUN Satok yang dimenanginya selama lapan penggal berturut-turut.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin bahawa pengundi akan menilai apa yang dilaksanakan sejak GPS mentadbir dan menguruskan negeri.

Katanya, tawaran baharu kepada rakyat Sarawak akan dibuat melalui manifesto yang bakal diumumkan Rabu ini yang merupakan kesinambungan kepada manisfesto PRN 2016.

"Setakat ini apa yang telah kita janjikan pada 2016 telah kita tunaikan.

"Walaupun ada pihak mengatakan manifesto ini bukan kitab suci tetapi bagi kita ia adalah satu perjanjian yang harus kita laksanakan sebaik mungkin," katanya.

Mengenai proses penamaan calon di seluruh negeri, Abang Johari, berkata, beliau difahamkan ia berjalan dengan lancar.

Katanya, ia merupakan bukti bahawa proses demokrasi di negeri ini adalah subur dan hidup.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam proses penamaan calon termasuk pasukan keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ini termasuklah masyarakat awam yang telah sama-sama menunaikan tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada hari penamaan calon.

"Proses kempen akan bermula selepas ini dan saya harap semua yang bertanding akan mengikuti arahan- arahan daripada SPR dan juga pihak berkuasa berkaitan SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 12:07 PM