TAN Sri Abang Johari Abang Openg hadir untuk menyerahkan borang penamaan di Pusat Penamaan Calon DUN N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. FOTO Aizuddin Saad
TAN Sri Abang Johari Abang Openg hadir untuk menyerahkan borang penamaan di Pusat Penamaan Calon DUN N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Haizan Hasam


Gedong: Kemenangan besar kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menjadi faktor pencetus dalam mempercepatkan proses pembangunan luar bandar di Sarawak.

Naib Ketua Wanita I, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Nancy Shukri berkata, pengundi di DUN Gedong bertanggungjawab meneruskan tradisi Ketua Menteri Sarawak sebelum ini yang mewakili kawasan DUN di luar bandar.

Katanya, pengundi DUN Gedong juga tidak sepatutnya melepaskan peluang keemasan untuk diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini adalah satu motivasi untuk kita semua dan ia juga akan mempercepatkan pembangunan terutamanya di luar bandar.

"Perlu kita ingatkan di Sarawak ini, politik kita adalah politik pembangunan di mana masih banyak kawasan yang perlu kita majukan.

"Maka, saya rasa adalah lebih baik kalau orang kita di Sarawak dan di Gedong memberi sokongan padu dan keyakinan kepada Ketua Menteri untuk menang besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon DUN Gedong yang menyaksikan Abang Johari bertanding buat kali pertama di kawasan itu selepas berpindah dari DUN Satok yang dimenangi selama lapan penggal atau 40 tahun berturut-turut.

DUN Gedong adalah salah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Batang Sadong yang diwakili Nancy.

Sementara itu, Nancy menyifatkan pengundi di DUN Gedong sebagai amat bertuah apabila penyandang, Datuk Naroden Majais berkobran dengan memberi laluan kepada Abang Johari.

Katanya, ia juga adalah satu penghormatan kepada penduduk setempat apabila mereka diwakili oleh pembuat keputusan nombor satu.

"Saya harap semua yang mengundi nanti jangan fikir mana-mana (calon lain) lagi.

"Kita di sini adalah orang yang amat bertuah sekali dan ini juga adalah satu rezeki," katanya.

Mengulas manifesto GPS yang bakal dilancarkan pada Rabu ini, Nancy berkata ia bakal menjadi panduan kepada pengundi untuk melihat bagaimana GPS merancang pembangunan Sarawak.

"Jadi kita perlu jadi orang yang bertanggungjawab terhadap manifesto tersebut dengan memberikan sokongan padu dan mandat kepada kerajaan GPS sekali lagi untuk memerintah sekali gus membolehkan kita mendapat apa yang diingini selama ini.

"Pastinya ada kesinambungan daripada manifesto PRN 2016 kerana kesinambungan amat penting dalam sesebuah kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 1:11 PM