Zaid Salim

Setiu: Demi tanggungjawab menguruskan mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS), seorang ibu terpaksa meninggalkan anak perempuan berstatus orang kurang upaya (OKU) di rumah.

Ruhana Mustapha, 61, dari Kampung Padang, di sini, berkata anak perempuannya, Radhiyatul Adawiyah, 40, ditinggalkan bersama suami, Mat Taha Daud, 71, dan seorang lagi anak perempuannya, Suriyani, 35.

"Sebagai Pengerusi Biro Kebajikan di bawah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), saya ditugaskan untuk mengurus kemasukan mangsa banjir di PPS Sekolah Kampung (SK) Besut, yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah setiap kali berlaku banjir.

"Walaupun kediaman saya juga dinaiki air, namun demi tanggungjawab yang diamanahkan, saya terpaksa meninggalkan anak-anak dan suami di rumah," katanya.

Ruhana berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah di PPS berkenaan, hari ini.

Menurutnya, kampung berkenaan terletak di kawasan berhampiran sungai dan sering dilanda banjir setiap kali tiba musim tengkujuh.

Katanya, persekitaran kampung berkenaan ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter menyebabkan dia terpaksa mengharung air untuk ke PPS berkenaan.

"Kediaman saya terletak di kawasan sedikit tinggi menyebabkan air hanya bertakung di perkarangan rumah sahaja," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Sementara itu, tiga beranak dari Kampung Seladang terpaksa meredah air pada paras pinggang sebelum tiba di PPS berkenaan pada 10 pagi semalam.

Wan Rohainah Wan Sulaiman, 49, berkata dia bersama ibu, Safiah Ismail, 83, dan kakaknya, Wan Zakiah, 58, berpindah ke PPS dengan sendiri kerana bimbang terperangkap dalam banjir berikutan air naik secara mendadak.

"Air naik terlalu cepat dan jalan utama Kampung Seladang ke Permaisuri juga terputus selepas ditenggelami air sehingga hampir mencecah paras satu meter.

"Setiap tahun apabila tiba banjir, penduduk akan pergi ke PPS ketika air mulai naik kerana bimbang terperangkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:37 PM
ROSMAN bertanya khabar mangsa banjir tiga beranak dari Kampung Seladang yang ditempatkan di PPS SK Kampung Besut. FOTO Zaid Salim
ROSMAN bertanya khabar mangsa banjir tiga beranak dari Kampung Seladang yang ditempatkan di PPS SK Kampung Besut. FOTO Zaid Salim