RUHANA melihat tangga yang tinggal selepas rumahnya dihanyutkan banjir pada Disember lalu. FOTO Fathil Asri
RUHANA melihat tangga yang tinggal selepas rumahnya dihanyutkan banjir pada Disember lalu. FOTO Fathil Asri
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Hulu Langat: "Jika dulu antara 30 hingga 40 saudara mara akan berkumpul untuk solat tarawih dan berbuka puasa bersama-sama di rumah pusaka ini, namun kini hanya tinggal tangga," kata Ruhana Mahfodzi, 75.

Ruhana berkata, dia yang tinggal berseorangan sebelum ini sentiasa menantikan kedatangan Ramadan dan Syawal untuk berkumpul bersama keluarga di rumah pusaka itu.

"Namun kini hanya tinggal kenangan, rumah pusaka hanya tinggal tangga kerana bah yang menimpa, hati saya punah ranah, sekelip mata hilang segalanya.

"Tapi saya reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan semua termasuk rumah yang dibina sejak 1969 ini," katanya ketika ditemui di Kampung Jawa, di sini, hari ini.

Ruhana berkata, dia tidak membuat sebarang persiapan menjelang Ramadan dan hanya menumpukan soal ibadah pada bulan yang mulia.

"Persiapan hanya ala kadar, yang penting kita muhasabah diri dengan apa yang berlaku, Ramadan adalah bulan untuk kita memperbanyakkan ibadah.

"Saya bersyukur diberikan nikmat kesihatan yang baik dan masih mampu membaca al-Quran tanpa memakai cermin mata," katanya.

Menurutnya, kejadian banjir pada 27 Disember lalu turut meninggalkan trauma kepadanya.

"Selama tiga bulan saya tidak boleh tidur malam, asyik teringat kejadian yang memusnahkan keseluruhan rumah pusaka saya.

"Saya berharap Ramadan yang menjelang tiba ini memberi seribu hikmah terhadap apa yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 2:20 PM