Ruhana Mahfodz 75, kini mendiami di rumah sementara selepas rumah peninggalan keluarganya musnah akibat banjir dan arus deras Sungai Lui. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ruhana Mahfodz 75, kini mendiami di rumah sementara selepas rumah peninggalan keluarganya musnah akibat banjir dan arus deras Sungai Lui. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Hulu Langat: Hampir dua bulan lalu, kawasan Batu 18, di sini, bertukar 'pekan lumpur' selepas dilanda banjir dahsyat.

Kini, kehidupan penduduk kawasan itu semakin pulih walaupun masih ada terkesan dan trauma dengan bencana alam terburuk dalam sejarah daerah itu.

Rumah pusaka Ruhana Mahfodz, 75, di Kampung Jawa, di sini, antara yang terjejas teruk disebabkan bencana alam pada 18 Disember tahun lalu dan tinggal tangga sebagai 'kenangan'.

Menyorot kembali peristiwa itu, pesara kerajaan itu ternyata masih trauma mengenangkan kejadian yang melenyapkan rumah tinggalan Allahyarham bapanya.

Katanya, rumah dibina pada 1969 itu kini hanya tinggal tangga dan tapak sebagai kenangan untuk keluarganya.

"Sementara menanti rumah baharu dibina, saya tinggal di rumah kabin di kawasan bersebelahan sejak beberapa minggu lalu.

"Saya memilih untuk tinggal di sini kerana banyak kenangan, walaupun adik beradik mengajak tinggal bersama mereka, saya selesa di sini.

"Sementara waktu saya tinggal di rumah kabin yang disambung dengan struktur batu memandangkan rumah baharu di tapak lama mengambil masa untuk siap dibina," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Ruhana berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak dan orang ramai yang tidak putus memberi sokongan dan bantuan ketika ditimpa musibah.

Katanya, mereka datang dari seluruh pelusuk negara membawa semangat dan kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan.

"Sayu mengenangkan rumah tempat berkumpul ahli keluarga besar saya lenyap sekelip mata.

"Saya dapat kekuatan dengan kata-kata semangat dan cekal menempuh dugaan kerana percaya Allah SWT menguji sesuatu yang mampu dihadapi umat-Nya," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Mandeling, Ade Dodo Ahmad, 65, berkata, setiap kali hujan pasti kebimbangan akan dirasai kerana takut peristiwa sama berulang.

Katanya, cukuplah sekali kejadian seumpama itu berlaku dan berharap kerajaan dapat mempercepatkan bantuan kepada penduduk.

"Ada agensi kerajaan datang beberapa kali dan saya sangat berharap bantuan segera dapat disalurkan seperti apa dijanjikan kerajaan.

"Tidak semua penduduk orang senang dan kini terpaksa mengeluarkan wang yang banyak membaiki kerosakan rumah dan harta benda," katanya.

Batu 18, di sini, antara lokasi di Selangor yang terjejas teruk ekoran banjir besar pada Disember tahun lalu.

Rumah, kenderaan dan pelbagai harta benda penduduk lenyap sekelip mata dibawa arus sungai yang melimpah selepas hujan tanpa henti selama dua hari.

Keadaan ini ternyata memberi tamparan hebat kepada penduduk yang rata-rata tidak menyangka banjir besar terus menukar hidup mereka sekelip mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 2:34 PM